Monday, September 7, 2009

Iftar dirumah penghulu Gatton

Salam pembaca budiman. Seperti kelaziman Ramadhan yang lalu, teratak yang dihuni oleh penghulu Gatton pasti dinanti-nantikan oleh anak-anak buah kampung Gatton nan permai ini untuk sama-sama menikmati juadah berbuka puasa. Tahun ini tidak terkecuali. Kali ini, agak lebih meriah kerana teratak baru yang dihuni tok penghulu lebih luas dan selesa berbanding teratak yang lalu. Pelbagai juadah dihidang bagi mengisi kantung perut yang kosong sejak dingin subuh. Juadah utama disediakan oleh tok penghulu manakala juadah sampingan disediakan oleh warga Gatton yang permai ini.

Antara tetamu yg hadir.

Juadah utama-nasi kerabu biru

Menu utama hidangan iftar kali ini adalah juadah tradisi dari Pantai Timur. Nasi Kerabu berwarna biru menjadi sajian kali ini. Lengkap dihiasi dengan pelbagai ulam-ulaman kerabu serta renjisan peraman pati ikan bilis (budu) menambahkan lagi selera tatkala itu. Kepingan keropok ikan talang goreng turut memenuhi pinggan santapan. Ditambah lagi dengan kuah percik ramuan zaman-berzaman meningkatkan selera si penyantapnya. Sesungguhnya, iftar kali ini sangatlah meriah dengan gelak-ketawa anak-anak kecil serta sang dewasa sehingga hampir alpa waktu Isyak mengetuk masuk. Mujur masih diberi sedikit ruang waktu untuk melunaskan kewajipan Maghrib dan Isyak berjemaah. Buurrrrrppp...alhamdulillah. Bau budu lah pulak biler sendawa..hehehee.

No comments: