Tuesday, November 30, 2010

Selamat tinggal musim bunga...

Salam pembaca budiman. Tinggal beberapa jam lagi disaat laman ini ditulis, musim bunga bakal menamatkan kitarannya. Dengan itu, musim panas dengan rasminya memulakan kitaran hayatnya selama 3 purnama lamanya. Musim panas sememangnya ditunggu oleh kebanyakan penduduk disini. Pada musim ini kebanyakan dari mereka mula merancangkan percutian bersama keluarga. Seraya mengambil kesempatan atas perayaan hari Natal yang hampir tiba, kebanyakan tempat-tempat percutian keluarga dalam negara sudah habis ditempah. Belum lagi dikira kumpulan anak -anak muda yang merancang percutian bersama rakan-rakan ke pusat peranginan keluar negara. Destinasi tumpuan utama mereka tentulah di pusat peranginan terkenal diBali. Pusat percutian ini sangatlah popular dikalangan muda-mudi ditanah kangaroo ini kerana terdapatnya pantai yang cantik dan ombak yang sesuai bagi aktiviti meluncur.

Kampus Gatton kini sunyi dari hiruk pikuk para pelajar siswazah. Hanya kelibat beberapa pelajar pascasiswazah yang kelihatan mudik kesana-kemari sekitar bangunan akademik disini. Penulis juga termasuk dalam golongan ini. Tiada ekspresi yang mampu dilontarkan tatkala mereka gembira bercuti. Hanya mampu mengetip bibir tanda iri hati. Ya, seperti kelaziman sebelum ini, tempat percutian bagi golongan pascasiswazah tentunya dalam makmal penyelidikan ataupun diruangan pejabat yang dikhaskan kepada kami. Takpe-takpe..ade ubi ade batas..habes PhD aku cuti puas-puasnye...errr, mcm tak boleh jer pasal kena terus lapor diri untuk kembali berkhidmat..aiyooo..!!

Sunday, November 28, 2010

Garage Sale at 18A Skinner Street

Salam pembaca budiman. Selalunya aktiviti bagi kebanyakan kami warga Malaysia dikampus Gatton ini pada setiap hujung minggu adalah dengan pergi mengunjungirumah yang ada jualan 'garage sale'. Aktiviti ini menjadi lebih menarik pada ketika ini kerana kebanyakan penduduk-penduduk disini ingin menjual barang-barangan yang sudah tidak diperlukan dengan harga yang murah dek kerana hampirnya perayaan hari natal. Apa yang menarik, boleh dikatakan hampir 80% dari barang jualan adalah berasaskan barangan mainan yang sudah tidak diperlukan tetapi masih tampak baru jika dibersihkan semula. Barangan ini mendominasi kebanyakan rumah yang menjual kerana anak-anak mereka sudah pasti akan mendapat barangan permainan yang baru pada krismas nanti.

Antara barangan mainan

Yo dan abg Abu tgh siapkan tanda

Ironinya, pagi Sabtu semalam, kami pula yang mengadakan 'garage sale'. Bertempat diruang letak kereta teratak penulis, kami warga Malaysia dan Indonesia di kampus Gatton ini bersepakat menganjurkan jualan tersebut. Idea ini dicetuskan oleh Abg Abu yang ingin menjualkan barangan-barangan yang sudah tidak perlukan lagi kerana ingin pulang ke Malaysia setelah isterinya kak Faizah tamat pengajian Master disini. Memandangkan barangan beliau yang tidak banyak, jadinya kami semua bersetuju untuk turut sama menjual barangan-barangan kami yang sudah tidak diperlukan.

Antara barangan outdoor

Peti ais mini dan tv

Seronok juga buat garage sale ni apabila pengunjung tak putus tiba sejak awal pagi lagi. Syukur kebanyakan barang-barang yang besar seperti kotak television dan peti ais mini warga Gatton yang lain habis kesemuanya dibeli. Barangan yang tinggal insyaAllah akan dijual mungkin pada jualan garage sale akan datang apabila penulis sudah tamat menyerahkan tesis. InsyaAllah...hehehee

Friday, November 26, 2010

Pesta tamat sekolah..

Salam pembaca budiman. Lazimnya, bila tiba saja bulan November, pusat peranginan tumpuan utama kebanyakan pelancong dari dalam dan luar negara iaitu Surfers Paradise Gold Coast pasti dipenuhi oleh remaja-remaja lepasan sekolah. Kebiasaan bagi setiap tahun sebelum memasuki alam pekerjaan dan bebas dari kongkongan keluarga, tumpuan kumpulan ini pastinya ke pesta tamat sekolah atau lebih dikenali sebagai 'Schoolies Week' bagi masyarakat disini. Penganjur memilih Surfers Paradise kerana lokasinya yang menarik serta kemudahan penginapan dan pengangkutan yang terdapat disini.

Kawasan utama remaja-remaja ini berkumpul


Seperti dapat dijangka seperti lazimnya, berita mengenai pesta tersebut pasti mengisi slot berita dikaca television pada waktu perdana siarannya. Ironinya, bukan kemeriahan pesta yang dipaparkan pada umum, tetapi paparan pertelingkahan remaja-remaja mabuk serta mereka yang ditangkap oleh pihak berkuasa menjadi santapan mata penonton semua. Sedih, namun inilah kenyataannya apabila mereka semua berkumpul. Akibat pengaruh arak dan kadangkala dibawah pengaruh dadah terlarang, banyak insiden-insiden pergaduhan berlaku sesama mereka.

Kanan-Remaja mabuk cuba ditenteramkan oleh sukarelawan
Kiri-remaja lepasan sekolah dikonsert anjuran penganjur

Ditahan polis akibat perilaku tak terkawal

Akibatnya, untuk tempoh seminggu dua ini, kebanyakan pengunjung tempatan cuba untuk mengelak dari melawat kekawasan peranginan ini kerana khuatir dari turut terjebak sama akibat perilaku tidak terkawal kebanyakan remaja-remaja ini. Bagi mereka ditanah air yang bercadang untuk melawat Surfers Paradise Gold Coast pada bulan November, anda dinasihatkan untuk berhati-hati lebih-lebih lagi bila bersiar-siar pada waktu malam dikawasan komersial disepanjang pantai Surfers Paradise ini. Jarang ada insiden kumpulan remaja ini mengganggu pelancong-pelancong akan tetapi dikhuatiri bila masa justifikasi minda tidak dapat dijaga akibat pengaruh arak dan dadah, segala-galanya mungkin berlaku kepada para pengunjung lain.

p:s: Gambar diambil daripada 'The First Post'..hasil carian melalui Google Image

Wednesday, November 24, 2010

Ayuz in da house..

Salam pembaca budiman. Semalam ketika mata leka membelek koleksi potret-potret lama , penulis terjumpa potret teman sekuliah ketika sama-sama menuntut disalah sebuah intitusi pengajian tinggi ditanah air suatu ketika dahulu. Ketika zaman kuliah dahulu, kami selalunya suka duduk dibangku paling belakang dewan kuliah. Ditemani oleh Dobot, Syahar dan Aboo, pasangan lima sekawan ini digelar backbenchers boys oleh kebanyakan teman sekuliah yang lain. Ironinya, Aboo seharusnya duduk dibelakang sekali kerana bentuk fizikalnya yang sangat tinggi. Jejaka berasal dari kepulauan Mauritius ini merantau ke Malaysia semata-mata untuk mendalami ilmu perubatan veterinar.

Tengah beraksi..check heart rate kuda after the horse was trotted

Juadah nasi beriyani kambing kuzi..tambah tuu..hehehe

Balik kepada perkara utama, teman penulis Dr. Muhammad Fairuz Bin Jamaluddin (Ayuz) merupakan pengamal perubatan veterinar yang mempunyai minat pengkhususan terhadap perubatan ekuin. Minat yang mendalam ini telah membuatkan beliau menjadi antara individu-individu terpenting dalam industri ekuin negara. Beliau juga selalu mengiringi DYMM Tuanku Mizan keluar negara ketika Sultan Mizan beraksi dalam pertandingan kuda lasak (endurance) sebagai pegawai perubatan veterinar kepada kuda Tuanku. Selain itu, beliau juga menjadi antara individu yang mendapat kepercayaan oleh badan-badan berkanun (Polis/DBKL dan lain-lain lagi) untuk mewakili badan-badan tersebut memilih kuda-kuda terbaik bagi simpanan organisasi tersebut.

Gambar bersama Qaisara

Gambar kenangan bersama Ayuz dan delegasi dari Kerajaan Negeri Terengganu (YB Datuk Abdul Rahin Mohd Said-paling kanan)

Terbaru (Julai lalu), beliau telah mendapat kepercayaan dari Kerajaan Negeri Terengganu untuk memilih kuda-kuda terbaik bagi negeri tersebut untuk bertanding dalam kategori ekuestrian dalam Sukan Malaysia baru-baru ini. Ironinya, lokasi pemilihan kuda untuk tugasan tersebut hanya terletak tidak lebih 20 minit perjalanan dari tempat tinggal penulis dengan menaiki kereta. Usai pemilihan kuda yang diingini, rakan penulis beserta pembeli (Exco Belia dan Sukan Negeri- YB Datuk Abdul Rahin Mohd Said) dijemput kerumah penulis untuk menikmati juadah tengah hari sebelum berlepas menuju ke destinasi seterusnya iaitu ke Perth. Seronok dapat berjumpa dengan teman lama walaupun masa tak berapa mengizinkan, kunjungan singkat tersebut pasti diingati selamanya.

Ayam pencen...

Salam pembaca budiman. Semalam penulis dan beberapa teman disini telah berpeluang mendapatkan ayam pencen dengan harga murah. Ayam telur yang sudah tamat tempoh penyelidikan oleh salah seorang penyelidik disini telah diiklankan pada umum dengan harga yang agak murah iaitu AUD5 yang berat antara 1-1.5kg untuk seekor ayam hidup . Pembeli hanya perlu memproses ayam tersebut sendiri.

Memilih ayam yang besar untuk disembelih..

Rakan penulis dalam proses pemilihan ayam baeekkk punya...hahahahaa

Reban ayam telur..lihat kebersihan reban ini..sangat bersih

Sebanyak 24 ekor ayam telah dibeli oleh kami untuk dibahagikan kepada warga muslim Gatton yang telah memesan. Ayam tersebut kesemuanya telah dibawa pulang kerumah abg Hisham untuk disembelih. Umumnya, sebarang urusan sembelihan ternakan tidak boleh dibuat dikawasan terbuka, perlu dilakukan dirumah sembelih. Mujur, rumah Abg Hisham terletak jauh dari pandangan tetangga. Makanya, senanglah urusan sembelih menyembelih, cabut bulu dan buang isi perut dilakukan. Nak masak apa yer ayam pencen ni..liat dagingnya..masak rendang ada juga moleknya. Takpun goreng garing dan makan masa tengah panas...perghhhh..!! Sllrruuuppp...!

Tuesday, November 23, 2010

Pre-graduation photoshoot session..

Salam pembaca budiman. Ahad kelmarin, penulis telah diminta untuk membantu Kak Faezah mengabdikan potret beliau bersama keluarga dan teman-teman di Gatton ini. Sesi fotografi yang berlatarbelakangkan lanskap kampus UQ Gatton ini sungguh menarik untuk diabdikan dalam ingatan.

Kak Faezah bersama busana graduasi..


Di depan tugu UQ Gatton

Potret bersama keluarga..

Bersama teman-teman di Gatton..

Bersama penulis sekeluarga..

Menariknya, pergambaran kali ini adalah untuk meraikan Kak Faezah yang telah tamat pengajian beliau dengan berpakaian busana graduasi UQ. Beberapa keping gambar diselitkan dalam blog ini untuk tatapan bersama. Tahniah Kak Faezah atas kejayaan ini. Moga-moga pintu rezeki untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi diperkenankan oleh Ilahi. Amin...! Tahniah dari kami sekeluarga.

Monday, November 22, 2010

Farewell party

Salam pembaca budiman. Sabtu lalu, kami sekeluarga telah dijemput bertandang kerumah salah seorang warga Malaysia di Gatton Bumi Permai. Keluarga 3 beranak ini bakal pulang ke tanah air di Malaysia dalam tempoh beberapa hari saja lagi. Setelah hampir setahun setengah disini mencari ilmu, kini masa untuk kembali berkhidmat kepada negara kembali tiba. Keluarga Abg Abu dan Kak Faezah yang kami kenal sejak setahun lebih memang satu keluarga yang ramah.

Antara sajian malam itu

Perghh..sambal belacan..ni org rumah penulis yg buat..hehehe

Antara tetamu yang hadir
Qaisara dengan Kakak Alya Sara.

Kak Faezah merupakan senior penulis ketika menuntut Ijazah Kedoktoran Veterinar disalah sebuah institusi pengajian tinggi yang berhampiran dengan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan. Pakar memasak makanan tradisional Melayu bagi kami warga Gatton disini, sesungguhnya setiap jemputan dari mereka sekeluarga amatlah rugi jika ditolak. Hehehehee..Mana nak dapat pasembor dan segala jenis kuih muih tradisional Melayu disini kalau bukan hasil tangan Kak Faezah. Mujur, segala ilmu masakan ini diperturunkan kepada kaum-kaum wanita yg masih disini. Hehehehee..

Tuesday, November 16, 2010

Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua..

Salam pembaca budiman, awal pagi hari ini penulis kantung pesanan ringkas mobil penulis berbunyi. Bila diamati, rupanya ucapan Aiduladha dari supervisor penulis (Dr. Rafat Al Jassim). Ironinya disini, terdapat percanggahan pendapat tatkala tibanya perayaan besar untuk umat Islam diseluruh dunia. Seperti Aidilfitri yang lepas, ada sesetengah umat Islam ditanah ratu ini menyambut sehari lewat dan ada pula menyambutnya sehari awal (29 hari). Walaupun pengumuman rasmi dikeluarkan oleh badan rasmi Islam disini, namun terdapat sesetengah umat Islam disini menyambut mengikut tarikh sambutan dinegara asal mereka. Bagitu juga kali ini, Aidiladha disambut berbeza tarikhnya.

Bagi kami kebanyakan komuniti pelajar Malaysia, kami akan mengikut pengumuman yang dikeluarkan oleh badan berwajib yang menyatakan bahawa tarikh jatuhnya Aidiladha adalah pada 17 November. Sepakat dengan tarikh tersebut, warga muslim Gatton sebulat suara untuk menyambutnya insyaAllah pada esok hari (17 Nov) walaupun terdiri daripada berbilang negara. Dikesempatan ini penulis ingin mengucapkan kepada semua pembaca serta semua warga muslim Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha. Selamat menjalani ibadah korban.

Saturday, November 13, 2010

Gunting rambut

Salam pembaca budiman. Dinegara kangaroo ini segala perniagaan yang berasaskan perkhidmatan (kedai gunting rambut, kedai baiki kereta dan sebagainya) sangatlah mahal. Contohnya untuk servis kereta biasa dengan hanya menukar minyak enjin dan oil filter yang hanya mengambil masa lebih kurang satu jam ataupun mungkin kurang daripada itu, upah yang dikenakan terhadap pelanggan adalah sebanyak AUD70 untuk satu jam perkhidmatan. Cuba bayangkan sekiranya kerosakan teruk berlaku terhadap enjin kereta yang memerlukan 4-5 jam untuk dibaiki. Belum dicampur dengan harga barangan lagi. Perghhhh...naik kereta lembu jawabnya..hehehehe.

Baju kertas

Muka baru bangun tido

Gunting jgn tak gunting...hehehehe

Anyway, kupasan kali ini bukan berkisarkan beiki kereta tapi berkenaan perihal si kecik yang sangat-sangat susah nak ajak potong rambutnya. Alasannya, beliau geli rambut2 yang jatuh mengenai tubuh badannya. Mungkin trauma dari sesi potong rambut yang lepas yang dilakukan oleh tukang gunting rambut yang sangat tak bertauliah (mama dier), makanya tatkala sebut saja 'Qaisara jom potong rambut..', nescaya berlakulah ribut taufan dalam rumah dengan suara raungan si kecik. Tak padan ngan badan..suara bila jerit mengalahkan sang hanuman mengaum. Hehehehee. Hanya satu pilihan yang kami ada, iaitu dengan menggunting rambut si kecik ini bilamasa nyenyak tidurnya. Cuma pagi ini, tiada riak yang sama berlaku apabila diajak untuk gunting rambut. Mungkin setelah dipujuk rayu dan diletakkan baju kertas dicelah lehernya membuatkan si kecik teringin untuk mencuba bagaimana rasanya rambut digunting dengan beralaskan baju kertas dibahu..hehehehe. Teringat zaman kecik2 dulu taknak bagi rambut kena kat baju..

Friday, November 5, 2010

Movember...bulan membela misai..hehehee

Salam pembaca budiman. Setiap tahun apabila menjelang bulan November, seluruh Tanah Kangaroo menyahut satu kempen kesedaran kesihatan mengenai kanser prostate bagi kaum lelaki. Pada bulan ini, kebanyakan mereka akan menyimpan misai selama sebulan bagi tujuan kebajikan sambil menderma. Di kampus ini juga tak ketinggalan. Boleh dikatakan kebanyakan pelajar serta staf universiti lelaki akan menyimpan misai mereka untuk tempoh sebulan. Bagi mereka yang menyertai kempen ini, mereka akan mencari seberapa banyak sumbangan berbentuk wang dan akan diserahkan kepada penganjur program.

Gambar hiasan (diambil dari Google Image)

Gambar hiasan (diambil dari Google Image)

Agak kagum juga dengan semangat yang ditonjolkan oleh mereka ini. Bagaimana pula dengan penulis....errrr, kalu ader kempen simpan bulu kaki paling banyak sudah tentu penulis menjadi johan...hahahaha. Berkumis agak janggal buat penulis walaupun dahulunya pernah membelanya beberapa ketika. Anda pula bagaimana? Hehehehee...

Tuesday, November 2, 2010

Lumba kuda..

Salam pembaca budiman. Hari ini ketika mentari tegak memancarkan cahayanya (dalam waktu tengah hari..senang ceriter..hehehee), aktiviti penduduk disini seakan lumpuh, seakan terhenti seketika. Semuanya dek kerana penangan lumba kuda Melbourne Cup. Acara perlumbaan kuda yang paling berprestij didunia ini hanya diadakan setahun sekali sahaja ketika musim bunga tiba menjelma. Persiapan sekitar gelanggang lumba kuda tersebut dihiasi dengan moleknya kerana pada hari tersebut ramai manusia-manusia elit dan terkenal diseluruh dunia datang untuk bertaruh sambil berhibur.
Gambar hiasan (diambil dari Google image)

Gambar hiasan (diambil dari Google image)

Kampus di Gatton juga tak ketinggalan. Tepat jam satu petang, bangunan pejabat kelihatan lengang. Masing-masing berpusu menuju ke rumah kelab yang disediakan oleh pihak universiti untuk warga kampus bersosial. Disitu kesemua mata tertumpu dipaparan layar besar menanti dengan penuh debar pertaruhan mana yang bakal memberi pulangan berlipat ganda. Berita malam ini hampir separuh masa siaran sudah tentunya menceritakan mengenai kuda yang berjaya. Pastinya memaparkan suka duka wajah mereka yang menang mahupun kalah dalam taruhan. Taruhan yang maha banyak nilainya. Beginilah nasib insan yang berjudi. Puluhan juta dipertaruhkan atas makhluk tuhan yang tak berminda punyanya. Makhluk tuhan yang sempurna ciptaan-Nya, yang dilengkapi dengan jiwa dan minda yang cukup sifatnya kadangkala payah sekali untuk golongan ini menabur fitrah zakatnya. Dunia..dunia..

Aktiviti makan-makan hujung minggu

Salam pembaca budiman. Ahad lepas penulis sekeluarga serta teman-teman dari Malaysia yang lain telah dijemput untuk memeriahkan majlis BBQ anjuran mbak Risma sekeluarga. Untuk pengetahuan, Risma merupakan pelajar postgraduate yang berasal dari Indonesia dan merupakan kenalan rapat kami warga pelajar Malaysia di Gatton Desa Permai ini. Warga Indonesia yang sama-sama menuntut di kampus Gatton ini tidaklah terlalu ramai. Ada dalam 3 keluarga berserta seorang single yang turut sama-sama mencari ilmu ditanah asing ini. Hubungan kami disini umpama adik beradik. Rapat dan muhibbah. Maklumlah, kesemuanya datang dari rumpun yang sama. Rumpun nusantara.

Kemudahan BBQ yg disediakan oleh majlis bandaran

Warga tempatan turut sama berkongsi kemudahan yg disediakan

Taman permainan turut disediakan bersebelahan tempat BBQ.

Bertempat di Lake Apex, pusat riadah di desa Gatton ini, majlis makan-makan bermula dalam jam 1 petang setelah hampir kesemua jemputan tiba dan setelah selesai semua daging ayam dibakar. Menariknya, majlis bandaran di Gatton ini menyediakan tempat membakar ayam secara percuma buat penduduk setempat. Sudah menjadi amalan masyarakat disini apabila cuti hujung minggu, kebanyakan mereka suka menjamu selera dengan daging ayam atau lembu bakar secara santai bersama keluarga dan teman-teman. Boleh dikatakan hampir setiap rumah disini mempunyai alat pembakar BBQ sendiri. Walaupun tampak mudah proses pembakarannya, hanya dengan menggunakan silinder gas memasak, namun tetap tidak boleh kalahkan daging bakar ditanah air yang diserapi dengan aroma tempurung kelapa bakar mahupun kayu arang. Hmmmm......terliur pulak dibuatnye..hehehee