Tuesday, September 28, 2010

Minggu sunyi

Salam pembaca budiman..satu minggu ini kampus UQ di Gatton agak lengang oleh hiruk pikuk kenderaan dan bunyi derapan tapak kaki manusia. Minggu ini merupakan cuti pertengahan semester bagi kalendar akademik disini. Cuti satu minggu kali ini hanyalah seperti cuti-cuti semester yang lain. Tidak bermakna langsung buat mereka yang tergolong dalam golongan pelajar pasca siswazah yang mengambil aliran penyelidikan.

Penulis juga tergolong dalam kelompok ini. bagi kami, cuti semester hanyalah apabila sudai selesai menghantar puluhan atau ratusan helaian kertas bercetak yang sudah berjilid. Helaian berjilid yang mempunyai muka kulit keras depan dan belakangnya. Yang mana muka kulit tersebut tercetaknya empunya nama, tajuk serta logo universiti yang berdakwat emas kilaunya. Ketika itulah cuti panjang semester bagi golongan ini akan bermula. InsyaAllah hanya beberapa purnama lagi penulis bakal menikmati cuti semester yang panjang itu. Mudah-mudahan..amin..!

Friday, September 24, 2010

Backdated event 3 - Melbourne Trip

Salam pembaca budiman. Musim dingin yang lalu, penulis bermusafir kebahagian selatan tanah kangaroo ini. Perkelanaan kali ini ditemani oleh isteri dan si cilik tersayang merentasi ruang udara hampir dua jam lebih lamanya. Kalau melalui jalan darat dengan menaiki gondola perkasa empat beroda, mahunya dua hari dua malam tiba ke destinasi yang dituju.

Mt. Baw Baw

Azlan dan isteri- Zue..teman penulis di Melbourne

Anyway, ini merupakan family trip kami yang kedua di Australia (yang pertama trip ke Canberra dan Sydney). Melbourne menjadi destinasi pilihan musim dingin kali ini. Penulis sekeluarga amat berterima kasih kepada sahabat karib kami Azlan dan isteri beliau-Nazuha kerana sudi menjadi tuan rumah sepanjang percutian kami kali ini. Pasangan suami isteri ini kedua-duanya bekas rakan satu kolej ketika sama-sama masih menuntut di salah sebuah universiti tinggi awam tempatan di kawasan lembah klang. Kini pasangan suami isteri tersebut bekerja mencari rezeki di tanah asing. Sudah hampir 5-6 tahun mereka di Australia.

Salah satu tempat menarik di Great Ocean Drive

Berlatarbelakangkan Twelve Apostle

Pelbagai tempat menarik yang sempat kami lawati sepanjang 10 hari di Melbourne. Antaranya Warribee Zoo, Sovereign Hill-Ballarat, Twelve Apostle, dan Melbourne CBD. Selain itu aktiviti wajib musim dingin iaitu mengunjungi pusat peranginan tanah tinggi untuk bermain salji. turut diisi dalam tentatif aktiviti kami. Terdapat beberapa lokasi untuk bermain salji di Melbourne, namun kami memilih untuk pergi ke Mount Baw Baw kerana lokasinya yang agak berdekatan dan hanya mengambil masa hampir 2 jam dengan menaiki kereta. Termakbul juga niat dihati untuk menikmati keadaan bersalji sebelum pulang kembali ke zon hujan dan panas sepanjang tahun di tanah air.

Sovereign Hill - Ballarat

Dihadapan pintu masuk ke Warribee Zoo

Ternyata, percutian ke Melbourne sangatlah menarik kerana terdapat banyak tem
pat menarik untuk dilawati. Cuma apa yang kurang menarik adalah setiap tempat tarikan yang disebutkan diatas terletak sangat jauh antara satu sama lain. Tak seperti di Brisbane yang mana kebanyakan tempat menarik terletak berhampiran antara satu sama lain. Apapun, sekiranya pintu rezeki diketuk lagi, nescaya akan kami kembali ke kota ini. Cuma mungkin, tema percutian kali ini lebih menjurus kearah percutian beli-belah dikota Melbourne sahaja. Percutian tempoh hari tak sempat nak tawaf tempat-tempat shopping kat situ. Heheheheee..

Thursday, September 23, 2010

Backdated event-2 Kota London

Salam pembaca budiman. Setelah lima hari berada di Kota Aberdeen, Scotland, tibalah masa untuk kembali pulang ke down under. Seperti perjalanan udara sebelum ini, tempoh penerbangan dijangka selama 23 jam. Cuma pada kali ini, penulis telah meminda waktu penerbangan dari Aberdeen ke lapangan terbang Heathrow dengan menaiki penerbangan yang pertama hanya semata-mata untuk mengambil peluang bersiar-siar di Kota London selama 8 jam sebelum berlepas pulang ke Australia.

Parliament house dengan Thames River

Berlatarbelakangkan Big Ben

Double decker dan London Eye

Mentari di Kota London pada tika itu cukup terik. Panas membahang sehangat perlawanan bola sepak antara England menentang Germany yang kebetulan jatuh pada hari yang sama penulis transit di kota ini. Kiri kanan kota metropolitan ini dipenuhi dengan penyokong fanatik dari pasukan dua negara yang berentap. Penulis agak bernasib baik kerana cuaca terik sepanjang hari tidak membantutkan aktiviti bersiar-siar sekitar metropolitan ini. Umumnya, kota ini sering sahaja suram dek kelibat mentari yang jarang mencurahkan sinarnya.

Berlatarbelakangkan Birmingham Palace

Pengawal istana Ratu

Birmingham Palace

Rasa puas dihati apabila dapat mengabdikan potret kenang-kenangan berlatar belakangkan ikon-ikon utama kota metropolitan ini. Big Ben, Thames river, London's eye, Birmingham Palace tak lupa juga dengan bas dua tingkat serta pengawal istana ratu menjadi subjek utama dalam potret kembara penulis kali ini. Cuma penulis sedikit terkilan kerana terkenangkan sang isteri serta anak tercinta yang tak dapat bersama-sama menikmati panorama ini. Kekangan kewangan membataskan perencanaan ini. Mungkin lain kali penulis pasti kembali ke kota metropolitan ini bersama-sama keluarga yang dikasihi. Amin ya robb...hehehehee. Airasia kan adee...hehehehe

Backdated event-1 Aberdeen, Scotland

Salam pembaca budiman. Awal Jun lalu ketika seluruh dunia gegar gempita akan kemeriahan Bola sepak Piala Dunia, penulis berkelana hampir 23 jam lamanya merentasi lautan menuju kearah kutub utara. Ternyata 23 jam dalam kapal terbang bukanlah satu pengalaman yang indah bagi mereka yg berada didalam kelas ekonomi. Namun bagi penulis, waima duduk diruang bagasi sekalipun, peluang melawat negara asing menjadikan faktor keselesaan jatuh ketempat kedua. Apatah lagi perjalanan kali ini ditaja sepenuhnya oleh tempat penulis menjalankan penyelidikan. Heheheee..

Bersama poster penyelidikan penulis

Sekitar kampus University of Aberdeen


Kembara penulis kali ini membawa misi tersendiri. Penulis bermusafir kesebuah negara dalam kesatuan Eropah iaitu Scotland bagi menghadiri satu persidangan antarabangsa mengenai bidang penyelidikan yang penulis ceburi. Ternyata peluang keemasan ini datang hanya setelah hampir dua tahun menunggu untuk membentangkan hasil penyelidikan penulis kepada warga penyelidik dari seantero dunia. Peluang ini diambil untuk bertukar-tukar pendapat serta mendapatkan nasihat serta tunjuk ajar bagi menambahbaik kualiti penyelidikan mahupun kualiti penulisan tesis nanti.

Bangunan berupa istana

Kota Aberdeen

Ditengah-tengah kota Aberdeen..keadaan tenang tanpa keserabutan lalu lintas

Kota Aberdeen mengalu-alukan kedatangan semua delegasi ke persidangan tersebut. Ternyata, kota serba indah dengan struktur binaan bangunan zaman Renaissance serta rekabentuk binaan istana lama ini cukup menggamit pemerhatian penulis. Satu perkara yang agak janggal bagi penulis ketika mula menjejakkan kaki disini yang mana ketika itu bumi Scotland berada dibawah pengaruh musim panas. Bayangkan keadaan yang mana jatuhnya matahari ataupun lebih tepat lagi masuknya waktu senja adalah lebih kurang jam 10-11 malam. Bayangkan kalau Ramadhan jatuh pada musim panas disini. Sengsara...hehehehee.

Wednesday, September 22, 2010

Lama sungguh...

Salam pembaca budiman. Lama sungguh laman ini tak terusik. Kiranya sang lelabah singgah tiba, pastinya laman ini dipenuhi sesawang maha banyaknya. Apapun alasan yang diberikan penulis, ternyata tidak dapat merungkai misteri kemalasan yang melanda.

Pelbagai peristiwa suka duka berlaku sepanjang 3 purnama yang lalu. Masih lagi terpahat diingatan akan kemeriahan sambutan Syawal yang baru saja berlalu. Syawal tahun ini merupakan Syawal yang terakhir disambut ditanah asing. Setelah hampir 4 tahun menikmati juadah Aidilfitri yang instant (terima kasih kepada ketupat nasik Adabi..hahahahaa), tekak ini semakin lupa akan kenikmatan sebenar juadah utama dipagi raya apabila dibungkus rapi dengan daun palas ataupun pucuk kelapa.

Syawal tahun ini disambut secara sederhana seperti tahun-tahun yang sudah. Syukur kali ini, kariah muslimin dan muslimah Gatton Desa Permai ini semakin bertambah. Dapatlah sama-sama melaksanakan tuntutan sunat dipagi Syawal, bertakbir dan berjemaah sama-sama disurau yang disediakan oleh pihak universiti disini. Sebelum ini penulis terpaksa bermusafir dua marhalah jauhnya semata-mata untuk menunaikan solat sunat dipagi Syawal.


Usai solat sunat Aidilfitri. Bergambar beramai-ramai dimusolla UQ

Bergambar kenang-kenangan di empangan Wivenhoe

Potret keluarga

Berkumpul sesama sahabat handai merupakan aktiviti wajib. Dengan cara inilah sedikit sebanyak dapat mengurangkan resah sedih hati dek kerana teringatkan kampung halaman yang jauh dimata. Tahun ini kami semua sepakat untuk berkumpul dirumah ahli kariah yang paling senior. Rumah Queenslander tiga bilik milik universiti menjadi destinasi kami berkumpul. Terima kasih kepada tuan rumah Abg Hisham dan Kak Jamaliah sekeluarga kerana sudi menawarkan tempat untuk kami semua meghilangkan rasa rindu di Malaysia. Ternyata menu utama iaitu kambing golek cukup membuatkan Syawal tahun ini yang paling istimewa. Rasanya, kalau di tanah air belum tentu dapat golek seekor kambing macam ini. Heheheheee...burrrpppp..alhamdulillah..kenyang den. Raya haji kiter wat kangaroo golek pulak keh bang?!...heheheheheee..

Abg Hisham (tuan rumah, kanan sekali) dan yang lain-lain-tuan tukang perabih kambing

Perghhh...

Kepada anda semua, walaupun sudah lama satu Syawal berlalu, namun izinkanlah penulis mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua yang beragama Islam. Maaf zahir dan batin!