Wednesday, September 23, 2009

Senja nan merah...

Salam pembaca budiman, hari ini segenap pelosok angkasa jujukan pantai timur dan tenggara di bumi kangaroo ini mengalami satu fenomena luar biasa. Fenomena yang mana seluruh petala langit yang dijunjung bertukar menjadi merah. Cukup menakjubkan. Terdetik dihati penulis perasaan gentar akan kekuasaan Yang Maha Esa. Sangkakan, kiamat datang menjelma. Rupa-rupanya ianya hasil dari ribut yang membawa debu-debu tanah yang halus dari kawasan barat Australia. Hehehee.. Ternyata ianya amat menakjubkan. Matahari tidak kelihatan langsung kelibat sinaran perkasanya. Cuma yang ada hanya biasan cahaya yang berwarna merah terang hasil pertembungan dengan debu-debuan tanah yang halus zahirnya.

Pemandangan dari belakang rumah

Pemandangan dari laman rumah

Pemandangan dari hadapan pintu rumah

Fenomena ini telah menyebabkan ramai mengalami masalah pernafasan disebabkan oleh pencemaran debuan ini. Ramai yang mengambil keputusan untuk bersantai sahaja dirumah bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan diri. Penulis pula, hanya menghabiskan sisa-sisa harian didalam kantor siswazah dengan melakukan apa yang termampu. Syukur, fenomena ini beransur surut menjelang petang. Moga hari esok sinar kembali ceria.

Nota kaki ayam: Gambar diatas diambil sekitar jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Lebaran diperantauan

Salam pembaca budiman, Ramadhan sudah berlalu, Syawal menjelma pula. Tahun ini merupakan kali ketiga penulis menyambutnya diperantauan. Ironinya, sambutan Syawal ditanah asing tidak banyak bezanya dengan tanah sendiri. Usai solat sunat Aidilfitri, segenap pengikut Nabi Muhammmad SAW bertebaran mengunjungi teratak sahabat handai. Bagai satu keluarga, masing-masing saling bermaaf-maafan serta bergembira dihari yang mulia ini. Penulis tidak terkecuali. Sebanyak 6 buah rumah menjadi mangsa kantung perut penulis yang kepingin aneka juadah raya. Terima kasih kepada mereka yang sudi menjemput penulis sekeluarga untuk sama-sama memeriahkan rumah terbuka kalian.

Selesai solat sunat Aidilfitri

Antara perantau ditanah asing

Ketupat...

Ketupat buatan sendiri tp bukan penulis yg buat. Hehehehe..Selamat tinggal ketupat instant!

Penganjur bersama rumah terbuka penulis..

Penulis juga tidak ketinggalan untuk sama-sama menganjurkan rumah terbuka pada satu Syawal. Bezanya, tahun ini budaya anjuran rumah terbuka bukanlah dianjur dari satu keluarga tetapi merupakan anjuran bersama beberapa keluarga. Budaya ini sedikit sebanyak dapat menambahkan lagi kemeriahan disamping dapat mengurangkan pembaziran dan yang penting, penjimatan dapat dilaksanakan. Hehehehee. Rumah terbuka penulis adalah anjuran bersama dengan sahabat seangkatan yang sama-sama melanjutkan pengajian ditanah asing ini. Terima kasih kepada AL Ahmad kerana sudi menjadikan teratak beliau yang luas sebagai venue majlis kali ini. Terima kasih juga kepada Abg Zul-Kak Ha, Iswan Budy dan isteri, Ema-Saiful dan Hazel kerana sama-sama menjayakan rumah terbuka tempoh hari. Terima kasih juga kepada mereka yang sudi datang. Kaget seketika penulis bila bilangan pengunjung yang datang punyalah ramai. Ni kalau charge satu kepala AUD5.00 ni mau balik Malaysia boleh beli kereta bayar cash satu ni..Heheheheheee..

Thursday, September 17, 2009

Mulberry

Salam pembaca budiman, kelmarin penulis mendapat pemberian buah mulberry dari supervisor penulis Dr. Rafat Al Jassim. Buah yang dipetik segar pada awal pagi dihalaman rumah beliau telah dibungkus rapi supaya kesegarannya terjamin apabila sampai ke tangan penulis. Jutaan terima kasih atas pemberian tersebut. Buah mulberry ini sangat sukar diperolehi ditanah air dan harganya pula agak mahal. Syukur dengan pemberian ikhlas ini dapatlah penulis merasakan kenikmatannya bersama-sama keluarga tercinta.

Setelah disusun rapi

Pemberian dari sv

Sebelum ini, beliau telah memberi penulis beberapa buah fig yg segar yang turut ditanam dihalaman rumahnya. Katanya, buah fig merupakan antara buah-buhanan syurga. Penulis kurang pasti akan kenyataannya. Belum punyai masa untuk mengiyakan pernyataan beliau tersebut. Apapun, penulis bersyukur atas pemberian tersebut serta jemputan untuk sama-sama meraikan Aidilfitri dirumah beliau Ahad ini. Namun pelawaan tersebut terpaksa penulis tolak dengan baik memandangkan telah berjanji untuk meraikannya bersama-sama teman dikota Brisbane.

Monday, September 14, 2009

Rezeki Ramadhan

Salam pembaca budiman. Ramadhan kali ini sedikit sebanyak membuka pintu rezeki bagi penulis sekeluarga. Seperti kelaziman tahun-tahun yang lalu, tatkala tiba waktu Ramadhan, penulis sekeluarga pasti sibuk menerima tempahan biskut-biskut raya dari kalangan teman-teman seperjuangan disini. Tahun ini, tidak terkecuali. Tempahan bukan hanya datang dari kariah Brisbane malah sudah mula tersebar ke kariah Toowoomba, Gold Coast dan Perth. Bagi tempahan diluar Queensland seperti di Perth, biskut raya akan dibungkus rapi sebelum di pos melalui mel udara.

Biskut Almond London

Biskut Tat Nenas
Penghantaran pertama tempahan.. bakinya nextweek.

Alhamdulillah, tempahan saban tahun makin meningkat lebih-lebih lagi bagi mereka yang pernah melanggan sebelum ini, biskut yang ditempah melebihi 4-5 bekas bagi seorang pelanggan. Syukur atas kurniaan Ilahi. Kepada semua yang telah menempah, terima kasih daun keladi diucapkan. Tahun depan tak pasti lagi menjual atau tidak kerana penulis sekeluarga sudah tidak sanggup lagi beraya 3 tahun berturut-turut di perantauan. Dapat pulang dalam beberapa hari sudah memadai. Hehehheee...

Nota kaki: Biskut raya yang dijual adalah seperti biskut tat nenas, almond london dan biskut cornflakes bermadu jer..Tak banyak jenis pun. Hehehehee..

Monday, September 7, 2009

Iftar dirumah penghulu Gatton

Salam pembaca budiman. Seperti kelaziman Ramadhan yang lalu, teratak yang dihuni oleh penghulu Gatton pasti dinanti-nantikan oleh anak-anak buah kampung Gatton nan permai ini untuk sama-sama menikmati juadah berbuka puasa. Tahun ini tidak terkecuali. Kali ini, agak lebih meriah kerana teratak baru yang dihuni tok penghulu lebih luas dan selesa berbanding teratak yang lalu. Pelbagai juadah dihidang bagi mengisi kantung perut yang kosong sejak dingin subuh. Juadah utama disediakan oleh tok penghulu manakala juadah sampingan disediakan oleh warga Gatton yang permai ini.

Antara tetamu yg hadir.

Juadah utama-nasi kerabu biru

Menu utama hidangan iftar kali ini adalah juadah tradisi dari Pantai Timur. Nasi Kerabu berwarna biru menjadi sajian kali ini. Lengkap dihiasi dengan pelbagai ulam-ulaman kerabu serta renjisan peraman pati ikan bilis (budu) menambahkan lagi selera tatkala itu. Kepingan keropok ikan talang goreng turut memenuhi pinggan santapan. Ditambah lagi dengan kuah percik ramuan zaman-berzaman meningkatkan selera si penyantapnya. Sesungguhnya, iftar kali ini sangatlah meriah dengan gelak-ketawa anak-anak kecil serta sang dewasa sehingga hampir alpa waktu Isyak mengetuk masuk. Mujur masih diberi sedikit ruang waktu untuk melunaskan kewajipan Maghrib dan Isyak berjemaah. Buurrrrrppp...alhamdulillah. Bau budu lah pulak biler sendawa..hehehee.

Pilih kambing

Salam pembaca budiman. Minggu lalu, penulis bermusafir ke utara tanah ratu menemani delegasi dari Jabatan Veterinar Malaysia yg berminat untuk membeli baka kambing berkualiti dari pusat pembiakan kambing ternama di Australia ini. Delegasi tersebut diwakili oleh 4 orang pegawai yg mana telah ditugaskan untuk membuat pemilihan baka kambing pejantan yang berkualiti mengikut spesifikasi yg telah ditetapkan oleh pihak jabatan. Sebanyak 416 ekor baka kambing pejantan Boer pure breed harus dipilih bagi penghantaran kali ini. Ternyata ianya bukan kerja yg mudah memandangkan saiz badan kambing jantan ini yg agak besar dan sasa berbanding kambing kampung diMalaysia. Tambahan pula dibulan Ramadhan, makanya tahap kecergasan otot-otot untuk berkerja semakin menurun. Mujur pemilik ladang tersebut turut membantu dalam proses pemilihan ini yang mengambil masa sehari suntuk.

Penulis di depan papan tanda ladang ternakan kambing Boer

Klasik lori nih

Penulis bersama pemilik dan delegasi dari Malaysia

Apakah kriteria utama dalam pemilihan kambing pejantan ini? Paling utama adalah saiz kantung telurnya. Ianya mestilah melebihi ukur lilit minimum 30cm. Tapi mujur organ baka asing ni semuanya besar-besarrrr belaka. Hehehheee..Selain itu, harus dipastikan bahawa tidak terdapat sebarang kecacatan dibahagian kaki seperti tempang, kudung dan sebagainya. Bahagian ini penting bagi menyokong proses mengawan ketika proses pemanjatan berlaku. (Bak kata org melayu, kekuda mesti kuat kalu nak bersilat..hehehe). Pilihan warna kambing juga menjadi salah satu kriteria utama. Baka kambing Boer yang tulen mempunyai warna coklat kemerahan dari bahagian kepala hingga ke bahagian pangkal leher manakala selebihnya harus berwarna putih. Sekiranya terdapat tompokan warna coklat kemerahan tersebut di bahagian lain selain yg telah dinyatakan, makanya kambing tersebut adalah hasil dari proses pengawanan kacuk berlainan baka. Bentuk tanduk juga diambil kira. Bentuk tanduk yg ideal adalah tanduk yang mengarah kebelakang dan tidak mengarah keluar. Umur kambing juga perlu diambil kira. Untuk proses pengawanan, selalunya perlu dipilih umur antara 12-18 bulan. Dan yang paling penting, perlu dilihat rekod pengawanan kambing tersebut samada proses pengawanan tersebut ada membuahkan hasil atau tidak. Hmmm..susah jugak nak pilih kambing ni. Hehhee..

Nota kaki cagu: Many thanks to En Ahmad Ridzuan (bos RF Venture) atas ihsan gambar yang dipaparkan dalam blog ni dan juga sebab belanjer bukak puasa. Hehehehee..