Monday, January 17, 2011

Inland tsunami-post 11/1/2011

Salam pembaca budiman. Hampir seminggu berlalu kejadian banjir kilat melanda kawasan tanah tinggi berdekatan tempat tinggal penulis. Hujan yang berterusan selama 3-4 hari tanpa henti mengundang malapetaka buat peduduk tanah tinggi serta mereka yang mendiami dikaki tanah tinggi tersebut. Toowoomba telah mengalami banjir yang amat dasyat yang mana air mengalir deras tanpa henti. Merodok segala apa yang terbentang dilaluannya. Hanya mata yang mampu melihat. Kotak suara seakan terkunci rapat. Bungkam melihat ujian dari Ilahi.

Lihat kesan air banjir menutupi ruangan parking kereta yang tingginya 2.1 meter

Perabot yang musnah ditenggelami air dilonggokkan ditepi jalan untuk dikutip oleh majlis bandaran

Usai menguji penduduk di tanah tinggi Toowoomba, deruan air deras 7 meter tingginya turun bertamu dipenempatan Grantham. Tanpa sebarang amaran dari pihak berwajib, hampir keseluruhan mukim yang terletak dikaki tanah tinggi tersebut musnah dihanyutkan oleh banjir lumpur. Penduduk-penduduk sekitar mukim Gatton juga diarahkan berpindah dengan serta merta memandangkan hanya 5 km jauh yang memisahkan antara dua mukim tersebut. Syukur limpahan air banjir tersebut tidak melanda Gatton Bumi Permai kerana terdapat sungai yang luas dan agak dalam yang menjadi penampan air banjir dari memasuki penempatan penulis dan sekitarnya.

Lagi barangan peralatan rumah yang musnah

Masih sempat berjenaka meminta elektrik disambung supaya dapat main PS3

Deruan air banjir meneruskan perjalanan menuju ke sungai Brisbane. Cukup isipadu muatan sungai tersebut, lalu melimpahlah segala lebihan-lebihan air sungai membanjiri kawasan penempatan sekitar tebing sungai tersebut. Tidak cukup kawasan penempatan, limpahan air sungai turut sama membanjiri pusat bandar. Natijahnya, bandar Brisbane dan kawasan sekitarnya terpaksa bergelap selama 2-3 hari kesan dari banjir tersebut. Metropolitan ini menjadi lengang. Tiada lagi kelibat kelompok kolar putih berpusu-pusu kesana kemari melewati lot-lot bangunan yang maha tingginya. Ya..kota metro ini dilanda bencana. Moga-moga mereka semua tabah menghadapi ujian dari Ilahi ini.

No comments: