Saturday, July 18, 2009

Julai yang baru..

Salam pembaca budiman, Julai kali ini membawa seribu pembaharuan dalam kehidupan penulis. Pembaharuan yang bagi hemat penulis taklah sepositif yang disangka, namun semua ini amat bermakna dalam kamus pengalaman penulis. Julai ini bakal menyaksikan penghijrahan kembali penulis ke desa Gatton yang satu ketika dahulu ditinggalkan. Kembalinya menginap di mukim ini atas sebab urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Mujur kerja-kerja makmal boleh dikatakan hampir siap sepenuhnya. Cuma berbaki 10% yang boleh dilakukan di kampus Gatton pada hemat penulis.
Julai ini juga telah meragut nyawa gondola perkasa empat beroda milik penulis. Jantungnya sudah tidak boleh berfungsi lagi. Perlu ditukarkan dengan jantung baru yang berharga lebih kurang aud1700. Perghh..azabnye. Kenapa ini terjadi? Senang ceriter, penulis tak pandai jaga gondola perkasanya..dibiarkan jantungnya dahaga. Kering kontang dibuatnya. Nah, natijahnya habis injap-injap jantung gondola perkasa empat beroda tidak boleh digunakan sama sekali lagi. Huhuhuuuhuu...


Jasamu dikenang gondola perkasaku..huhuuuuhu

Nampaknya, penulis terpaksa mencari pengganti gondola perkasa yang mangkat dengan segera. Penulis akan menukarkan jantung gondola tersebut dan kemudian akan melelongkannya kepada sesiapa yang berminat. Moga dapat dikembalikan duit pembaikpulihan sudah cukup gembira buat penulis.
Julai ini juga kediaman kecil dipesisir kota metropolitan menjadi pusat penyebaran wabak demam dan selesema. Mujur hanya demam selesema biasa. Tidak perlu dikuarantin mahupun ditahan diwad-wad kecemasan. Sesungguhnya, Julai tahun ini cukup bermakna...huhuhuhuuuu..kering poket penulis nak repair kreta ngan bayar duit sewa rumah baru..huhuhuuu..

Saturday, July 4, 2009

2 tahun di tanah asing

Salam pembaca budiman, tanggal 1 Julai lalu genaplah 24 purnama kaki menginjak ditanah asing. Satu kawasan yang memberikan sejuta harapan dan impian kepada mereka yang mengimpikan gelaran pendita. Tanah asing ini juga telah mengajar erti kehidupan penuh kesederhanaan dan keperitan dalam mengejar cita-cita. Sungguh pantas masa berlalu. Banyak perubahan yang berlaku disekeliling penulis dalam waktu tersebut. Dalam tempoh 24 purnama ini jugalah penulis menerima amanah dari Ilahi untuk menjaga, mendidik untuk mentaati perintah-Nya supaya menjadi khalifah yang berguna buat sekalian ciptaan-Nya. Bak lagu kumpulan Ratu-Berdua Lebih Baik, tapi bagi penulis 'Bertiga lagiiiii baiikk!'..hehehe..lepas ni mungkin berempat, berlima ..err, sampai tu jer kot..hehehee..

Anyway, dikesempatan ini penulis ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada sahabat penulis ditanah asing ini yang telah menganggap penulis ini menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Segala bantuan dan pertolongan dikala mula menjejakkkan kaki ditanah asing ini sangat-sangatlah dihargai. Kini giliran penulis pula untuk membantu mereka-mereka yang bakal tiba setakat mana yang termampu. InsyaAllah, mohon yang terbaik hendaknya.

Many thanks to AL Ahmad, Hezmee, Yaser n Amelia, Effa, Jem, Mai, Azlan n Zue, Shidah, Abg Aris n Kak Nor, Sham dan Puan..Jasa kalian dikenang..Susah-susah jer..hehehee

Monday, June 22, 2009

Keropok Ikan segera

Salam pembaca budiman. Cuaca dingin serta hujan sepanjang hari sedikit sebanyak membantu prestasi konsentrasi penulis jatuh merudum. Ditambah lagi dengan hari pertama dalam seminggu, sindrom kemalasan ini makin menjadi-jadi. Sejak 2-3 hari ini, mentari seakan-akan menjadi pemalu untuk menonjolkan kuasa sinaran cahaya teriknya. Dua tiga hari ini jugalah sang katak seakan berpesta menyambut simbahan rezeki dari petala langit. Namun itu semua tidak sedikitpun menjentik perasaan penulis tika ini. Perasaan rindukan selimut yang tebal, perasaan rindukan secangkir milo panas dikala kedinginan dan perasaan kerinduan meratah keropok ikan yang masih panas.Hhuhuuuuhuuu..Sesungguhnya, musim sejuk dan penulis tidak ditakdirkan sejiwa.

Bercerita tentang keropok ikan, sudah tentunya ianya menjadi salah satu makanan ringan diwaktu senggang. Penulis ada membeli beberapa bungkus keropok ikan segera untuk dibawa pulang ke tanah kangaroo ini. Syukur, ianya lepas dibawa masuk dipintu sempadan tanpa banyak soalan dari pihak kastam. Penulis membawa sebungkus ke pejabat/makmal tempat penulis menghabiskan masa seharian. Ternyata, bunyi rangupan keropok ikan segera ini telah menarik minat bangsa asing yang musykil akannya. Teman semakmal penulis (dari New Zealand) berasa teruja untuk menikmati kemeriahan bunyi rangupan keropok tatkala dimamah barisan gigi yang perkasa. Tanpa rasa kedekut ataupun iri hati, penulis menghulurkan beberapa keping sebagai pembuka selera. Seperti yang telah diduga, makanan tradisional ini sungguh pantas menambat hati teman penulis tersebut. Atas rasa semangat setiakawan, penulis memberikan sebungkus keropok ikan segera kepadanya walaupun berat sungguh hati ini terasa. Huhuuuhuu..

Sesungguhnya, selalunya benda yang banyak disekeliling kita amat jarang untuk kita jamah. Akan tetapi biler sukar untuk mendapatkannya, barulah terfikir untuk menjamahnyer tiap-tiap hari..Kini penulis masih lagi menanti bungkusan dari tanah air yang mana 80% daripada kandungan bungkusan tersebut adalah keropok ikan..boleh?huhuhuuu

Tuesday, June 16, 2009

840 jam di Tanah Melayu

Salam pembaca budiman, setelah kira-kira, congak-congak serta campur tambah sudah lebih 840 detik jam berlalu laman ini kantungnya tidak berisi. Sepuluh jari dihulurkan tanda kemaafan dipinta kerana penulis dengan paksa rela membiarkan laman ini bundar tanpa sebarang kata-kata. Tempoh 840 jam digunakan dengan sebaik-baiknya untuk meng'qada' segala apa yang menjadi kelaziman sebelum ini. Dalam 840 jam ini jugalah segala jenis makanan yang menjadi idaman yang sememangnya sukar (atau memang takde) di tanah asing menjadi mangsa kantung perut penulis yang tidak seberapa besar ini. Detik ini jugalah digunakan untuk melepaskan rindu kepada kaum keluarga serta sanak saudara yang telah lama ditinggalkan. 

Tempoh 840 jam ini jugalah penulis merasai kembali nikmat-nikmat cuaca panas terik serta asap jerebu dikota metropolitan (hampeh..). Tempoh ini jugalah menukar etika memandu penulis menjadi seperti sediakala (lebih biadab dan tak bertimbang rasa..hehehe) tatkala motokar meluncur laju memasuki perut ibukota Kuala Lumpur. Sia-sia segala kesabaran yang dipupuk di tanah asing yang mana semua pemandunya lebih bertimbang rasa apabila ada orang yang hendak masuk simpang. Tetapi tidak di Tanah Melayu. 

Tempoh 840 jam ini  digunakan dengan sebaik-baiknya oleh penulis untuk menonton sajian siaran-siaran tempatan yang sudah agak lama ditinggalkan. Anehnya, tepat jam 2.30 ptg penulis pasti tidak ketinggalan untuk menyaksikan sinetron 'Upik, Abu dan Laura' yang sungguh mencuit hati. Cerita kartun yang menjadi berjaya mencuit perhatian penulis ialah siri kartun 'Wonder pet' yang dialih bahasa kedalam bahasa Melayu. Lagu tema siri ini kini menjadi bahan usikan ramai termasuk didalam komik-komik tempatan.  Memang kelakar..bagi yang belum mendengarnya silalah google or cuba layari dalam youtube.."ape yang penting?..bekerjasama.'.."kami tak besar dan kami tak kuat..tapi biler kerjasama semua jadi mudah..Wonder pettt...!!!'..hehehe..Penulis sudah terkena sindrom wonder pet-wonder pet kami datang..!! huhuhuuuu 

Thursday, May 7, 2009

Trip to Sydney-Blue Mountain

Salam pembaca budiman, selesai segala urusan di Canberra, penulis bermusafir kembali menuju ke destinasi seterusnya iaitu Sydney. Perjalanan ke destinasi yang ingin dituju hanya mengambil masa selama 2 jam dengan menaiki kereta. Jarak Canberra dengan Sydney dianggarkan sejauh KL ke Ipoh pada perkiraan penulis. Di bantu dengan alat GPS (Global Positioning Satellite), perjalanan yang difikirkan agak susah pada mulanya, menjadi mudah. Penulis bersama ahli rombongan yang lain tiba ke Sydney lewat jam 9 malam. Kami menginap di Malaysian Hall Sydney. Syukur kehadrat Ilahi kerana berpeluang untuk menginap di dewan ini yang menawarkan harga penginapan yang sangat-sangat murah kepada warga Malaysia yang berkunjung kesini. 

Semasa perjalanan
Three Sister
Three Sister dari perspektif dekat

Destinasi pertama di Sydney pada keesokan harinya adalah untuk mengunjungi kawasan pelancongan tanah tinggi Blue Mountain yang mana terdapat struktur batuan gunung yang indah. Struktur batuan ini dikenali sebagai '3 beradik perempuan' setelah diterjemahkan mengikut kamus dewan bahasa tabib haiwan muka surat ke 312, perenggan ke-10. Hehehehe. Perjalanan ke lokasi pilihan ini hanya mengambil masa selama 1 jam dengan memandu. Mujur kami tiba awal ke tempat tersebut kerana apabila waktu menjangkau 10 pagi, lokasi tersebut sesak dengan bas-bas pelancongan serta kenderaan persendirian yang ingin sama menikmati keindahan kawasan pergunungan tersebut. 

Diatas ini disertakan beberapa kepingan gambar untuk tatapan bersama. Untuk melihat lebih banyak foto, sila kunjungi laman ini http://th11.wordpress.com/ 

Wednesday, May 6, 2009

Autumn in my heart..Canberra's version..

Salam pembaca budiman. Jumaat lalu penulis bermusafir ke Canberra. Perjalanan selama 2 jam dengan menaiki kapal terbang dari Brisbane airport tidak begitu dirasai memandangkan mata masih lagi mengantuk kerana menaiki pesawat yang terawal iaitu pada pukul 6.30pg waktu tempatan. Sebelum mendarat, jurumudi pesawat memaklumkan bahawa cuaca di Canberra ketika itu mencecah 1 darjah celcius. Penulis kaget seketika. Maklumlah, jasad yang tidak berpenebat (tidak berlemak)  ini sungguh mudah bagi cuaca sejuk untuk meratah sehingga ke tulang sumsum. Syukur baju sejuk yang dibawa bersama keatas kabin penerbangan sedikit sebanyak mampu mengurangkan rasa sejuk. 

Parliament House

Pemandangan musim luruh Canberra
Lagi pemandangan musim luruh

High Commission of Malaysia in Canberra

Musafir penulis ke Canberra adalah kerana atas urusan imigresen. Setiap permohonan pasport yang baru hendaklah berurusan terus dengan bahagian ini yang bertempat di pejabat konsulat Malaysia disini. Penulis tidak berseorangan, dengan ditemani keluarga serta rakan, kami menyewa kereta dari airport bagi memudahkan pergerakan kami untuk melawat ke tempat-tempat menarik disekitar Canberra. Tepat seperti yang telah diperkatakan oleh ramai orang sebelum ini, Canberra tidak banyak bezanya dengan Putrajaya. Bangunan-bangunan pentadbiran serta kawasan sekeliling dibangunkan dengan tersusun dan terancang mirip Wilayah Persekutuan Putrajaya. Cuma dibezakan dengan pokok-pokok yang menghiasi lanskap Canberra yang mana terdiri dari tumbuh-tumbuhan bercuaca temperate. 

Di atas adalah beberapa keping gambar yang diambil ketika di Canberra. Keadaan yang dingin serta dihiasi dengan dedaunan musim gugur membuatkan hati terasa tenang seketika. Namun pundi kencing senantiasa tidak tenang kerana penulis seringkali menjadi tetamu tandas bagi mengekalkan proses homeostasis badan yang kerdil ini..huhuhhuuu...

Nota kaki: Untuk melihat lebih banyak gambar, sila klik dibahagian 'cuci mata' dibahagian kiri blog ini ataupun lawat terus ke http://th11.wordpress.com/

Tuesday, April 28, 2009

Family photo shoot

Salam, pembaca budiman. Sabtu lalu sempena cuti umum ANZAC Day (sila rujuk entri sebelum ini), penulis bersama rakan-rakan yang sudah berkeluarga menjalani satu sesi fotografi berkeluarga. Great Court, University of Queensland menjadi lokasi pilihan sesi tersebut memandangkan persekitaran yang menarik serta tidak jauh dari tempat kediaman penulis. Tepat jam 9.30 pagi, kesemua rakan-rakan sudah berkumpul. Setiap keluarga dikehendaki untuk memakai pakaian warna sedondon bagi menampakkan keceriaan sesi fotografi tersebut. Limpahan mentari pagi yang kurang panas turut membantu menaikkan mood si cilik. Disini disertakan beberapa kepingan gambar hasil daripada sesi tersebut...yang selebihnya bolehlah ditatapi di laman berikut http://th11.wordpress.com/ Enjoy!!

Yaser's family

Insyirah Bte Yaser

Rayyan Azrin

Qaisara Batrisya